SEORANG rakan penulis yang juga pemerhati politik memberitahu: "Orang Kedah mudah sahaja tetapi kalau tersilap jadi susah."
Susah atau mudah yang dimaksudkan beliau di sini ialah dari segi calon-calon mendapatkan sokongan atau kepercayaan pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Rakan berusia 40-an yang dekat dengan jentera Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata lagi:
"Para pengundi mahu calon yang senang didekati, mesra, bercakap macam depa juga, tak sombong, prihatin selain ada kebolehan memimpin.
"Kalau dari jauh lagi dia dah boleh tegur orang kampung, angkat tangan, apabila dekat bertepuk bahu... itu memang kelas A la tu... klea," katanya sambil menghirup teh tarik.
Bagaimanapun, katanya, apabila seorang pemimpin itu sudah dicap atau dilabel sebagai sombong, besar diri dan berpersonaliti kurang baik maka sudah tentu penolakan pengundi ke atasnya sangat kuat dan keadaan menjadi susah untuk pemimpin itu jika menjadi calon.
Apapun, soal calon diperkatakan di merata-rata tempat dari Tikam Batu, Sungai Petani di selatan Kedah hingga ke Bukit Kayu Hitam di utara Kedah.
Bukan sedikit orang politik yang mengidam menjadi calon kerana bagi pemimpin parti-parti politik, kalau tidak menjadi calon seolah-olah seperti 'main bola tak dapat score gol'.
Tetapi apa lah gunanya jika seseorang itu beria-ia sangat menjadi calon sekiranya dia adalah calon yang bakal kalah dan menjadi beban kepada parti?
Jika demikian keadaannya, ia bermakna hakikatnya, menjadi calon bukan satu kehebatan bagi seseorang itu tetapi bakal bertukar kenangan pahit dan peristiwa hitam dalam hidupnya. Tidak mustahil hidupnya sering dikaitkan dengan kekalahan silam.
Orang akan bertanya, siapa si polan itu? Nanti jawabnya: "Ala... dia yang pernah kalah dulu di kawasan bla... bla... bla."