Tiga bulan lepas, negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa Sisters in Islam (SIS) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam atas dasar pemikiran liberalisme dan pluralisme agama.
Sementara itu, pada tahun 2006 Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa tentang pemikiran liberal yang mengandungi ciri-ciri pemikiran liberal dan memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.
Tulisan ini bukanlah hendak menghukum atau menentang fatwa tersebut tetapi saya hanya ingin mengutarakan beberapa hal berkaitan fatwa tersebut.
Menurut Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, beliau menyebut:
'' Adapun berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan peribadi seseorang yang dituduh dengan sesuatu, wajib mengambil masa untuk membuat kepastian dan kesabitan tentang hakikat sebenar pendiriannya. Hal ini dilakukan dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi unsur syubhat (keraguan) dan tiada lagi keuzuran untuknya.''
Persoalan saya di sini: Apakah pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa tersebut telah berjumpa dan berbincang dengan SIS Forum sebelum memfatwakan mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam? Apakah perkataan atau perbuatan SIS Forum yang menjadi rujukan pihak tersebut sehingga dikira sebagai sesat? Ini kerana dalam fatwa tidak disebut langsung berkenaan sebab mengapa SIS Forum difatwakan sesat.
Jika fatwa itu disandarkan atas sebab perkataan atau perbuatan SIS yang menyeleweng daripada ajaran Islam, maka perkataan atau perbuatan itu perlu dinyatakan dan diberikan dalil-dalil mengapa perkataan atau perbuatan itu dikira sesat dan menyeleweng.
Adalah tidak adil jika SIS Forum difatwakan sesat atas pendirian, perkataan dan perbuatan mereka tanpa menegakkan hujah sendiri dengan mengadakan perbincangan atau diskusi dengan SIS Forum.
Ia seolah-olah memberi gambaran negatif kepada imej Islam di negara ini apabila pihak bertanggungjawab boleh mengeluarkan fatwa bahawa seseorang itu adalah sesat tanpa berbincang dan berjumpa dengan individu terlebih dahulu.
Perincian dan penjelasan lanjut perlu dimaklumkan sebelum sesuatu pihak itu dituduh sesat atau menyeleweng daripada ajaran Islam kerana ini merupakan soal akidah yang tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan pendekatan 'simplistic thinking' atau menuduh tanpa sebarang penjelasan atau bukti.
Di Indonesia, fatwa mengharamkan pluralisme dan liberalisme juga telah dikeluarkan pada tahun 2005 tetapi fatwa yang dikeluarkan tidak menuduh mana-mana pihak sebagai sesat atau menyeleweng daripada ajaran Islam. Bahkan fatwa tersebut dikeluarkan bersama dengan penjelasan lanjut yang mendiskusikan beberapa perkara seperti perbezaan antara pluralisme agama dan pluralitas agama.
Fatwa Indonesia itu juga menetapkan bahawa dalam masalah aqidah dan ibadah, umat Islam wajib bersifat ekslusif tetapi dalam masalah sosial yang melibatkan masyarakat berbilang agama, umat Islam perlu bersifat inklusif yakni tetap melakukan pergaulan sosial dengan pemeluk agama lain selagi mana ia tidak merugikan.
Sekiranya sesuatu fatwa yang memfatwakan seseorang atau sesuatu pihak sebagai sesat hendak dikeluarkan, adalah lebih baik sekiranya pihak tersebut dibawa berbincang, diberi peluang untuk mengutarakan hujah-hujah dan pada masa yang sama mengambil peluang untuk menegakkan hujah sendiri dan memberi penjelasan.
Bukankah keadilan itu lebih hampir kepada taqwa?
''Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil(kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.'' Al-Maidah, ayat 8.
Kalau ada hujah, kenapa perlu takut?
Kalau ada hujah, kenapa perlu takut?