KUALA LUMPUR: Satu-satunya yang dianggap menarik daripada Bajet 2015 hanyalah kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM650 kepada RM950 bagi yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan dan kenaikan daripada RM450 kepada RM750 bagi yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000.
BR1M bagi orang bujang pula dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.
Demikian ulasan penulis Shahbudin Husin dalam blognya berhubung bajet yang tekah dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, petang semalam.
Ketika memberikan reaksinya mengenai kenaikan harga minyak baru-baru ini, Najib menjelaskan kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular itu demi kepentingan rakyat dalam jangka masa panjang.
Namun dengan terus menaikkan jumlah pemberian tunai melalui BR1M, tidak lain ia adalah langkah untuk terus popular yang diambil kerajaan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Menurut Shahbudin, dengan menjadikan pemberian itu sebanyak tiga kali setahun, kerajaan seolah-olah cuba meletakkan pergantungan yang berterusan antara rakyat kepada kerajaan.
"Adalah diyakini menjelang tahun-tahun akan datang di mana tarikh pilihan raya umum semakin dekat, dengan jumlah bayaran BR1M ini terus ditambah, tiada lain yang diharapkan kerajaan selain mahu terus popular dan disanjung rakyat.
"Sekurang-kurangnya, walau dalam kehidupan yang semakin sukar dan kos hidup kian meningkat, rakyat dipaksa mengingati kerajaan yang dianggap murah hati memberikan mereka wang tunai sebanyak tiga kali setahun," tulisnya.
Dalam masa yang sama, bagi beliau dengan bertambahnya jumlah BR1M bermakna lebih banyak subsidi yang melibatkan petrol, diesel, gula, tepung dan barangan pengguna lainnya akan terus ditarik dan dikurangkan daripada semasa ke semasa.
"Jika tidak, bagaimanakah kerajaan mahu menampung pertambahan jumlah pemberian tunai melalui BR1M ini?
"Atau mungkin juga bertambahnya pemberian tunai ini akan menyebabkan hutang negara terus meningkat tahun demi tahun," ujarnya.
Nampaknya, tambah beliau sejak beberapa tahun lalu dan akan datang, hanya BR1M inilah satu-satunya senjata Najib untuk terus meraih populariti di kalangan rakyat. -