KUALA LUMPUR: Topik kenaikan harga petrol RON95 dan diesel kini antara yang menjadi bualan hangat tidak kira di medium sosial mahupun kedai kopi.
Pelbagai reaksi dapat dilihat ekoran kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen yang diumum oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuat kuasa lewat tengah malam, 2 Oktober semalam.
Dengan ini, harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
Ekoran itu, perasaan kesal, marah, terkejut serta tidak kurang yang mengeluarkan kata-kata kesat terus dilontarkan kepada barisan kepimpinan kerajaan terutamanya melalui media sosial.
Rata-rata dilihat mencemuh kerajaan dengan beranggapan bahawa kerajaan tidak seharusnya mengurangkan subsidi minyak dalam keadaan kos hidup yang semakin tinggi serta dengan harga bahan api dunia yang dilaporkan sedang menurun, baharu-baharu ini.
Bagaimanapun, disebalik cemuhan itu, luahan perasaan seorang pengguna sosial, Facebook, menggunakan nama, Zyra Zakaria disifatkan luahan tulus daripada seorang rakyat marhaen.
Status yang dimuat naik oleh beliau semalam kini mula menjadi viral dan disukai oleh rata-rata pengguna media sosial tersebut.
Berikut luahan hati Zyra Zakaria yang ditulis dilaman mikro miliknya:
“Kita bising minyak naik bukan kerana kita benci Kerajaan Malaysia. Kita bising minyak naik bukan kerana kita tak mampu bayar. Tapi.. Kita bising sebab janji tak serupa bikin. Kita bising sebab kesiankan rakyat marhaen.
Memang kita berduit. Memang kita berharta. Namun, jauh di pelusuk sana, ada yang menghitung syiling. Ada yang bekerja teruk terkontang kanting. Mereka tak ada slip gaji. Jauh sekali socso mahupun kwsp. Kerjanya keluar pagi balik dinihari.
Dan kalian pula berbicara indah persis pujangga metropolis? Hanya 20 sen? Itu pun nak bising? Kerja lah lebih kuat lagi? Beribadatlah lebih lagi? Untuk dimurahkan rezeki?
Ya.. Sembang kalian sembang mereka yang berharta. Sembang kalian sembang orang yang penuh wibawa. Sedangkan ada mereka yang facebook pun tiada. Motor buruk hanya tunggu masa. Kerja lebih kuat dari si Sarjana Muda. Kerja lebih ikhlas dari si PHD mahupun Master. Hanya untuk mulut mereka sekeluarga.
“Ya.. Mereka tak berharta. Salah mereka kerana tidak berusaha di zaman muda. Tapi adakah kita berilmu untuk menjadi penindas mereka? Kalau itu sistem kehidupan. Aku rela jadi bodoh dari kalian. Kerana aku taknak hilang perikemanusiaan”.
Namun, adakah luahan hati ini hanya akan tinggal luahan semata-mata tanpa ada sebarang perubahan dan tindakan yang bakal di ambil oleh pucuk pimpinan?
Segalanya mungkin akan terjawab dalam Pembentangan Bajet 2015, 10 Oktober nanti.